‘Hear Me’ Mohon Haramkan Tayangan ‘Pekak’, Penerbit Dan Pengarah Minta Maaf

Hiburan

‘Hear Me’ Mohon Haramkan Tayangan ‘Pekak’, Penerbit Dan Pengarah Minta Maaf

Semalam, seorang pembaca bernama Amalina Annuar telah menghantar kepada kami satu artikel mengenai filem Pekak yang dianggapnya tidak bersandar kepada realiti kehidupan orang kelainan upaya (OKU).
 photo pekak the movie banner.png
Dalam entri ini, kami akan menyiarkan satu kenyataan yang dihantar oleh Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran (Hear Me) Malaysia mengenai filem “Pekak”.

Merujuk kepada filem Pekak yang ditayang bermula 1 September 2016 baru-baru ini, kami dari Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me) ingin menyatakan bantahan terhadap tayangan filem yang diarahkan oleh Mohd Khairul Azri Md Noor.

Filem yang dibintangi oleh Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Iedil Putra, Sharifah Sakinah, Amerul Affendi, Joe Flizzow dan Zaidi Omar ini telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan pelbagai pihak termasuk ahli persatuan kami yang rata-rata mempunyai anak yang menghidapi masalah pendengaran.

Sejujurnya menurut pendapat kami, filem ini adalah sangat tidak sesuai untuk ditayangkan. Selain di penuhi dengan adegan-adegan yang tidak bermoral seperti dadah, mencuri, pergaulan bebas, keganasan dan rokok, filem Pekak ini seakan-akan memperlekehkan kedudukan dan maruah Orang Kelainan Upaya (OKU) Pendengaran.


 photo 1_2.jpg
 


Realiti sebenar majoriti kehidupan OKU pendengaran adalah jauh berbeza daripada apa yang ditayangkan di dalam filem ini. Untuk pengetahuan pihak umum, persatuan Hear Me mengumpulkan ibubapa yang mempunyai anak bermasalah pendengaran dan majoriti daripada anak-anak kami samada memakai alat bantuan pendengaran (Hearing Aids) atau implan koklea (seperti watak yang dimainkan oleh pelakon Zahiril).

Malangnya, informasi berkenaan dengan implan koklea dan juga jalan cerita yang digunakan dalam filem ini adalah kurang tepat dengan fakta dan realiti serta tidak membantu dalam meningkatkan pengetahuan serta kesedaran pihak penonton tentang isu masalah pendengaran dan secara khususnya implan koklea.

Dengan mengaitkan implan koklea dengan kegiatan haram seperti dadah dan seks terbuka, ini sedikit sebanyak akan merosakkan pandangan masyarakat terhadap mereka yang memakai implan koklea dan bakal mengganggu emosi anak-anak implan koklea yang akan membesar dengan tanggapan masyarakat yang serong terhadap mereka.


 photo 2_2.jpg

Kami ingin menggesa pihak penerbit dan pengarah filem Pekak untuk memohon maaf secara terbuka kerana telah memalukan dan menjatuhkan maruah golongan OKU Pendengaran, terutamanya bagi mereka yang memakai implan koklea. Kehidupan sebagai seorang OKU Pendengaran sudahpun sedia penuh dengan cabaran dan dugaan menghadapi masyarakat Malaysia yang masih lagi kurang pendedahan terhadap keadaan dan situasi mereka. Tidak perlulah pihak penerbitan filem membantu untuk menambahkan lagi masalah kepada mereka.

Kepada pihak Lembaga Penapisan Filem, kami berhadap agar filem Pekak ini diharamkan daripada tayangan umum di Malaysia seperti mana negara jiran Brunei telah laksanakan. Biarlah masyarakat Malaysia menonton filem-filem bermesejkan unsur-unsur positif yang bolehmeningkatkan produktiviti dan melahirkan budaya yang lebih harmoni.

Kami juga ingin menyeru kepada semua pihak untuk menunjukkan budaya belas kasihan dan empati terhadap golongan OKU Pendengaran yang cuba untuk memperbaiki kehidupan mereka dan memperjuangkan hak mereka.

Berilah sokongan dan bantuan kepada ibubapa yang berusaha bekerja mencari rezeki yang halal dalam mengumpul dana untuk memberikan anugerah koklea implan kepada anak masing-masing.

Sekian.

Norziba Fazlina Abdul Ghani, Presiden
Persatuan Ibubapa Anak Masalah Pendengaran Malaysia (Hear Me)
PPM-019-10-23062015
PIC: Maryam Sakinah Abang Abdullah, Bendahari Persatuan 0132335364

Disokong oleh:
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (Ikram Health)
Wanita IKRAM Malaysia
Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA)
Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA)

Advertisement

Untuk maklumat lanjut mengenai persatuan Hear Me, anda boleh ke blog mereka. Secara peribadi, penulis masih belum berkesempatan untuk menonton filem ini. Mungkin juga penulis akan meluangkan masa untuk menontonnya nanti kerana curiga dengan jalan ceritanya. Sila tuliskan pendapat anda mengenai permohonan Hear Me ini di ruangan komen.-beautifulnara.com

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...