Setelah gagal dalam perkahwinan keduanya, Hattan hari ini menerusi Metro Ahad meluahkan niat di hati untuk bertaut semula dengan isteri pertamanya, Arianie Mohd Abidin. Menurut Hattan, dia dan Arianie saling memerlukan lebih-lebih lagi dengan kewujudan Adam Eiman, anak hasil perkongsian hidup mereka.
Kata Hattan:-
Kami saling memerlukan dan kini berusaha ke arah itu (perkahwinan). Andai ada jodoh, insya-Allah kami akan bersatu juga dan jika tidak, kami akan terus kawan baik. Saya pernah suarakan hasrat mahu dia kembali kepada saya, tetapi dia minta saya bersabar dan bagi dia masa. Kini, saya nampak kesungguhannya untuk sama-sama membina kembali keluarga kami. Ikutkan hati, saya mahu laksanakan secepat mungkin. Biarpun sibuk dengan bisnes dan tuntutan karier sebagai penghibur, tiada alasan untuk saya tangguhkan perkara baik seperti ini. Lagipun, dah tak ada apa yang perlu kami kejar, umur pun makin meningkat.
Hattan dan Arianie telah bercerai pada 17 Disember 1996 dengan talak satu. Selepas penceraian, Arianie tidak pernah berkahwin semula. Abang Nara terharu mendengar kata-kata Hattan yang hanya mahukan majlis perkahwinan secara kecil-kecil dan betapa dia menyesali kesilapan dulu. Kata Hattan lagi:-
Kalau jadi, kami buat majlis kecil-kecil saja. Tak perlu beriya-iya sangat buat persiapan kerana ini bukan kali pertama kami diijabkabulkan. Malulah sudah usia sebegini nak bersanding, laksanakan apa yang wajib sudah. Saya selalu renung semula kesilapan lalu dan buang mana tingkah-laku yang tidak disenangi Arianie. Begitu juga dia, mana yang saya tidak berkenan, dia buang. Dulu saya leka dengan duniawi. Sepanjang berkahwin dengan Arianie, tidak pernah sekali pun saya imamkan dia solat. Bila kenang balik, rasa ralat sangat dan saya tak nak ulang kesilapan itu.
Semoga niat suci murni Hattan ini akan dipermudahkan. Lebih-lebih lagi untuk kebaikan anak mereka berdua. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Mulakan kembali hidup baru. Sama-samalah kita doakan agar perancangan Hattan ini akan terlaksana dalam masa terdekat tanpa sebarang halangan.