Isteri kepada lelaki OKU mental yang dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai baru-baru ini berkata perbuatan dilakukan terhadap suaminya sangat melampau dan tidak berperikemanusiaan.
Bila melihat rakaman video itu, hati saya hancur dan sangat sedih. Mereka tidak berhati perut, bayangkan suami sudah beberapa kali memohon maaf, mereka tetap memukulnya.
Tambah Faridah Abdul Karim, 44, apabila suaminya meminta air untuk membasuh matanya yang pedih selepas dicurahkan mi goreng, individu terbabit bertindak menyepak kepala suaminya dan ia sangat tidak berhati perut.
Kata ibu kepada lima anak itu, sekiranya benar suaminya bersalah dan sengaja melanggar gerai tersebut, mereka sepatutnya menyelesaikan hal itu secara baik bukan dengan kekerasan.
Sepatutnya mereka datang bertemu saya dan berbincang, saya sanggup bayar ganti rugi yang dialami mereka.
Dalam kejadian itu, suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, cedera akibat diheret, diterajang, dipukul malah ada yang mencurahkan mi goreng ke atas kepalanya.
Dalam pada itu, Faridah berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang sudi membantu untuk menawarkan khidmat guaman secara percuma demi keadilan buat keluarganya.
Dia juga menzahirkan terima kasih kepada beberapa individu yang cuba membantu dan menghalang orang ramai daripada terus memukul suaminya ketika kejadian itu berlaku.
Katanya, sepanjang 25 tahun hidup bersama, suaminya itu tidak lupa solat dan sering ke masjid solat berjemaah.
Walaupun sakit, dia tidak tinggal solat. Suami tak pernah pukul orang, hanya mulut dia sedikit lantang dan kalau hari kejadian berlaku mereka cakap nak panggil polis suami pasti takut.