Penggunaan kod respons pantas (QR) kini telah menjadi amalan biasa dalam kalangan rakyat Malaysia, sama ada untuk urusan perbankan, pertukaran maklumat peribadi, mahupun pemesanan makanan.
Namun begitu, seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi ini, firma keselamatan siber Kaspersky memberi peringatan kepada rakyat Malaysia agar sentiasa berwaspada terhadap ancaman penipuan berkaitan kod QR yang semakin berkembang, memetik BERNAMA.
Menurut Penyelidik Keselamatan Utama Kaspersky, Noushin Shabab, penipuan QR merupakan bentuk baharu ancaman siber, di mana penjenayah menghasilkan kod QR berniat jahat yang mampu menjejaskan keselamatan pengguna.
Penipuan QR ini berlaku apabila kod yang sah ditukar menjadi kod palsu, yang berpotensi mencuri maklumat atau wang pengguna, atau menyebabkan komplikasi lain yang mengancam keselamatan mereka.
Dengan peningkatan penggunaan kod QR di Malaysia, lebih ramai penyerang melihat ia sebagai peluang untuk mengeksploitasi.
Berdasarkan Laporan Digital 2025 Global Overview oleh DataReportal, Malaysia kini berada di tempat kedua selepas China dari segi penggunaan kod QR, dengan 66.1 peratus penduduk aktif menggunakannya.
Noushin menjelaskan bahawa taktik biasa penipuan QR ialah dengan menampal kod QR palsu di tempat awam — seperti pada papan iklan atau poster — bagi menggantikan kod yang sah. Pengguna yang tidak menyedari penipuan tersebut mungkin mengimbas kod tersebut dan seterusnya diarahkan ke laman web milik penjenayah.
Kod QR berniat jahat ini biasanya diletakkan di atas kod asal pada papan iklan atau poster dan mengalihkan mangsa ke laman web penyerang.
Tambah membimbangkan, statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menunjukkan peningkatan ketara dalam kes penipuan dalam talian direkodkan sejak tahun 2024.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.