Penyanyi Nubhan meluahkan rasa syukur apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 12 (GV12), meskipun menyedari terdapat segelintir netizen yang seolah-olah gembira melihat dirinya tidak bergelar juara.
Menurut Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahmad, 40, kedudukan tempat ketiga bukan sesuatu yang wajar dipandang rendah atau dijadikan bahan sindiran kerana setiap pencapaian mempunyai nilai tersendiri.
“Nombor tiga bukan ‘padan muka’ (sebab bukan juara). Bagi saya ini semua rezeki dan satu perjalanan daripada minggu pertama sampai akhir bukan kerja senang.”
“Kalau saya tersingkir lebih awal, lain ceritalah. Apabila sudah menjadi finalis (peserta) sasaran saya adalah sekurang-kurangnya saya bertanding ke peringkat akhir.”
“Nak jadi juara bukan senang. Kalau menang itu bonus. Dapat tempat ketiga pun Alhamdulillah (syukur),” ujarnya.
Nubhan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert akhir GV12 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.
Mengulas lanjut, Nubhan mengakui berasa terharu dengan sokongan padu peminat yang sentiasa percaya dengan kebolehannya sepanjang pertandingan berlangsung.
“Terima kasih yang meramalkan saya sebagai juara. Alhamdulillah maksudnya mereka (peminat) percaya saya ada harapan untuk menang.”
“Sokongan daripada peminat sejak minggu pertama sudah cukup untuk membuatkan saya gembira,” katanya.
Untuk rekod, konsert akhir GV12 menyaksikan Iskandar Ismail dinobatkan sebagai juara, manakala tempat kedua dimenangi oleh Mendua.
Sementara itu, Mark Adam berada di tempat keempat, satu-satunya finalis wanita Mell Sakura di tempat kelima, manakala Ruri Repvblik menamatkan saingan di tempat keenam.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yan glain pada pautan di bawah.
