Bagai mampu menarik nafas lega, pelawak dan usahawan Achey Bocey zahir rasa syukur dan gembira apabila impiannya untuk memiliki kediaman sendiri buat keluarganya kini tercapai.
Menurut Achey, rumah teres tiga tingkat yang terletak di Sungai Buloh, Selangor itu bakal didiami dirinya dan keluarga selepas sambutan Hari Raya Aidiladha nanti.
“Setiap perkara kita buat mesti ada target. Walaupun 10 tahun. ASB, motosikal dan beberapa kehendak yang kami ada kami cairkan untuk renovasi. Tinggalkan keperluan dalam hidup dan untuk pekerjaan.”
Katanya, rumah yang masih dalam proses renovasi itu dikatakan tidaklah semahal mana dan tidak dibeli secara tunai.
“Rumah tak mahal mana. renovasi pun tak semahal mana, tapi kalau ada orang yang pakar, boleh dapat renovasi rumah cantik pada kos yang rendah.”
Ujar Achey lagi, perkongsian berkenaan rumah baharunya itu bukanlah sesuatu perkara yang perlu dibangga-banggakan. Hal ini kerana, beliau yakin segalanya datang daripada ketentuan Illahi. Malah, tidak menafikan menyimpan untuk masa depan adalah satu kunci kejayaan yang diperoleh oleh Achey sehingga kini.
Untuk rekod, Achey telah mendirikan rumah tangga dengan Nor Hasanah Yahya pada 2011. Biarpun tidak dikurniakan cahaya mata lagi, namun pasangan ini dikhabarkan mengambil seorang anak angkat yang diberi nama Nur Tiara Zinnirah pada tahun 2018.
Sumber: Gempak