Pelakon dan penyanyi, Kilafairy tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan bahawa rumah banglo milik ibunya, Allahyarham Rohana Jalil akan dilelong seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.
Tegas Kilafairy, rumah tersebut bukan milik arwah ibunya sebaliknya adalah rumah miliknya sendiri yang dijaga dengan baik sejak sekian lama.
Beliau juga menafikan sama sekali khabar angin bahawa kediaman tersebut akan dilelong atau dijual.
“Rumah itu bukan milik arwah mama, itu rumah saya. Saya jaga elok-elok dan tidak akan jual,” jelasnya ketika dihubungi mStar pada Ahad.
Dalam masa sama, Kilafairy turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh mengguris perasaan keluarga yang masih dalam tempoh berkabung atas kehilangan insan tersayang.
Saya tak nak komen banyak sebab benda ini tak betul. Tak ada siapa pun tanya saya sebelum kongsi benda yang tak sahih.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai satu hantaran yang mendakwa rumah banglo milik seorang penyanyi terkenal era 80-an akan dilelong dalam masa terdekat. Namun tidak dinyatakan secara jelas siapa pemilik rumah tersebut, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi netizen.
Untuk rekod, Allahyarham Rohana Jalil menghembuskan nafas terakhir pada 20 Jun lalu di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas mengalami jangkitan kuman dalam darah dan komplikasi pelbagai organ.
Arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.