Menghargai pengorbanan isterinya bertarung nyawa melahirkan dan membesarkan anak-anak mereka, pendakwah tersohor tanah air, Ustaz Ebit Lew berkongsi video menghadiahkan bidadarinya sebuah beg tangan berjenama mewah.
Menurutnya, setiap kali menyambut ulang tahun kelahiran anak mereka, Ustaz Ebit akan mengambil pendekatan untuk mencium dan mengucapkan terima kasih kepada isterinya kerana sanggup berkorban melahirkan anak-anak mereka.
Lebih istimewa, Ustaz Ebit juga turut menzahirkan ucapan terima kasih buat isterinya yang setiap hari tidak putus-putus membuat dirinya jatuh cinta kepada isteri.
“Terima kaseh setiap hari membuat abang jatuh cinta dengan sayang setiap hari dan menjadi penyejuk mata ini. Bulan 6. Hari lahir 3 orang saya sayang cintai di bulan ini. Arwah mak. Bidadari. Dan anak sulung.”
Dalam pada itu, Ustaz Ebit juga dilihat sempat memohon maaf buat maha pencipta kerana ketika mereka susah dahulu, isterinya banyak berjasa dan berkorban sehingga semua emas milik peribadi digadainya untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Malah perkara itu diakui sendiri oleh Ustaz Ebit yang mana pada ketika itu mereka sekeluarga langsung tiada duit untuk makan dan membeli lampin serta susu anak.
“Allah takdirkan dalam perjalanan hidup saya bertemu bidadari ini. Semuanya dikorbankan dan tak pernah mengeluh. Berjauhan, susah,penat,sakit kadang seorang diri saat saya tiada dirumah.”
Susulan pengalaman yang dilalui dahulu, Ustaz Ebit juga turut berterima kasih kepada Allah SWT kerana dikurniakan isteri yang amat memahami serta mendoakan agar beliau dan isteri akan terus bersama dan bahagia di dunia mahupun di akhirat kelak.
Terdahulu, Ustaz Ebit memuat naik video sambutan ulang tahun kelahiran anak sulungnya, Airis Saffiyah yang berusia 11 tahun di kediaman milik mereka dan menghadiah sebuah telefon pintar “iPhone” bagi menghargai jasa puteri sulung tersebut.