Pelakon lelaki pujaan ramai, Remy Ishak mengakui dia tidak menolak untuk menyambung kembali hubungan yang terputus di tengah jalan bersama bekas tunangnya, Ezza Yusof.
Remy,39, yang ditemui media berkata bahawa dia sangat menghargai pengorbanan dan kesetiaan wanita itu yang sentiasa berada di sisi serta memahami dirinya yang bergelar pelakon.
Ujar Remy, bukan mudah untuk mencari seseorang yang memahami diri dan ‘kegilaan’ kerana bergelar pelakon boleh membuatkan dia bersikap emosi dan sukar untuk diduga.
Menjelaskan bahawa dia juga berasal daripada keluarga yang berpecah belah sejak kecil, Remy tidak mahu perkara sama yang berlaku terhadap dirinya dulu berulang dan tidak kisah untuk berkawan dalam tempoh yang lama.
View this post on Instagram
“Biarlah perkahwinan yang dibina itu berkekalan sehingga ke akhir nyawa. Jadi dalam proses pemilihan calon isteri itu, memang ada putus, ada sambung. Mana yang boleh faham kegilaan dan kerjaya kita, perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah.”
Terdahulu, pelakon drama Pujaan Hati Kanda ini difahamkan telah mengikat tali pertunangan bersama Ezza sekitar Mei 2017 yang lalu.
View this post on Instagram
Tidak lama selepas itu, hubungan antara mereka mula menjadi persoalan apabila Remy telah mengaku dirinya telah kembali solo menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Bakal menginjak ke umur 40 tahun tidak lama sahaja lagi, Remy berkata dirinya kini lebih matang kerana banyak belajar daripada pengalaman yang lalu.
Namun, menyentuh isu perkahwinan dan harapan mengenai soal jodoh pula, Remy enggan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana tidak mahu pihak di belah sana (Ezza) tersinggung.
“Semestinya saya mahu pengakhiran yang baik buat kami berdua. Saya memohon doa orang ramai juga, dan jika ada berita gembira pasti akan dikongsikan kepada semua.”
Sebelum ini, Remy dilihat telah meraikan sambutan hari jadi bekas tunangnya itu di sebuah restoran bersama sahabat-sahabat yang lain.
Sehubungan dengan itu, peminat mula membuat spekulasi mengenai hubungan mereka yang kembali terjalin ataupun tidak.