Bedah siasat terhadap jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah mendedahkan beberapa dapatan penting, antaranya tiada dadah dikesan dalam tubuh arwah. Maklumat ini dimaklumkan oleh Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, yang menjadi saksi pertama dalam inkues kematian remaja tersebut di Mahkamah Koroner, memetik Harian Metro.
Dr Jessie menjelaskan bahawa analisis toksikologi di makmal Jabatan Kimia terhadap sampel hati si mati tidak menemukan dadah biasa.
Namun, pemeriksaan lanjut pada tisu buah pinggang mengesan kehadiran Phenytoin, sejenis ubat antisawan yang digunakan untuk merawat pesakit epilepsi dan sebagai langkah pencegahan sawan bagi mereka yang mengalami kecederaan otak traumatik.
Semasa proses bedah siasat, beberapa sampel diambil termasuk tulang sternum, tulang rusuk, kuku jari tangan kanan dan kiri, serta calitan daripada bahagian faraj rendah, faraj tinggi, dubur dan perineum untuk tujuan profil DNA.
Sampel hati dan buah pinggang turut diambil untuk analisis toksikologi di Jabatan Kimia. Semua spesimen tersebut diserahkan kepada Inspektor Wong Yew Zhung untuk pemeriksaan forensik.
Dr Jessie juga mengesahkan bahawa pemeriksaan menyeluruh terhadap bahagian alat kelamin luaran, selaput dara, saluran faraj bawah, perineum dan dubur arwah tidak menemui tanda pembengkakan, lebam, lecetan, koyakan atau kecederaan lain. Keadaan selaput dara didapati masih utuh.
Keterangan ini menolak dakwaan awal mengenai pengaruh dadah dalam kematian tragis Zara Qairina dan membuka lebih banyak persoalan mengenai faktor sebenar yang menyebabkan kematian remaja itu.
Inkues berkenaan dijangka akan terus meneliti bukti forensik, keterangan saksi serta laporan pakar untuk merungkai punca kematian yang kini menjadi perhatian umum.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.