Hati mana yang tidak tersentuh melihatkan kehidupan warga emas yang tidak terurus. Selain rumah yang dipenuhi sampah, warga emas dari Pengkalan Chepa ini turut menghidapi beberapa penyakit sekaligus membataskan pergerakannya di dalam rumah usang yang dihuni sejak tujuh bulan lalu.
Wan Ali Wan Abdullah, 78, dilaporkan hidup sebatang kara mengalami masalah pendengaran dan menghidap saraf pinggul sehingga tidak mampu melakukan kerja rumah kerana dia hanya boleh mengesot.
Katanya, sebelum ini dia tinggal bersama keluarga anak saudara di Kampung Simpang Tiga, Pengkalan Chepa, namun berpindah keluar disebabkan tidak mahu menyusahkan mereka.
“Nasib baik ada insan yang memberi kebenaran kepada saya menyewa rumah pada kadar RM120 sebulan”
Wan Ali yang pernah berkahwin, namun bercerai 10 hari kemudian 30 tahun lalu memberitahu, makan minumnya kini bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan.
Dia yang turut menghidap darah tinggi mengakui rumahnya tidak terurus dan pernah beberapa kali mengupah kanak-kanak di kampung itu untuk membantunya mengemas rumah.
“Dalam bulan Ramadan ini, saya hanya bergantung kepada pertolongan jiran terdekat yang membeli makanan atau menghulurkan kuih-muih untuk berbuka puasa”
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Wan Ali Wan Abdullah 0301041000203290.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, semoga nasib warga emas ini diberi perhatian ya.