Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilapor telah menghantar surat rasmi kepada beberapa negara bagi memaklumkan pelaksanaan tarif import bermula Ogos ini. Namun, kandungan surat tersebut mencetuskan perhatian apabila seorang lelaki tempatan membuat ulasan penuh terhadap mutu bahasanya.
Menerusi akaun X (@MirthfulMika), lelaki itu yang mendakwa memiliki skor 8.0 dalam ujian IELTS menegaskan penilaian tersebut hanyalah pandangan peribadi.
Setelah meneliti kandungan surat itu, beliau menyifatkan ia bersifat terlalu mementingkan diri, tidak formal dan tidak sesuai digunakan dalam urusan diplomatik antarabangsa.
Beliau turut mengkritik struktur ayat yang dikatakan berselerak, tiada hala tuju, dan menyukarkan pemahaman. Malah, terdapat juga beberapa kesalahan penggunaan perkataan serta gaya bahasa yang dianggap terlalu pasif-agresif.
Nada surat seperti mahu menjustifikasi tindakan AS kononnya tidak menyalahi undang-undang, malah menuding jari secara halus kepada negara-negara lain.
Disebabkan kelemahan-kelemahan tersebut, beliau hanya memberikan surat itu gred C-, menandakan banyak yang perlu diperbaiki, apatah lagi ia datang dari sebuah negara kuasa besar yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.
Penilaian ini pantas menarik perhatian warganet, ramai turut bersetuju bahawa surat rasmi peringkat antarabangsa seharusnya ditulis dengan penuh profesionalisme dan teliti.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.