Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ini, pastinya ramai yang menyahut seruan kerajaan dengan berada di rumah masing-masing. Sehinggakan ramai yang menghabiskan masa dengan mencuba resepi-resepi baru untuk mengisi masa terluang.
Secara tak langsung, ada yang mengalami kenaikan berat badan pula sepanjang tempoh PKP ini. Tak dinafikan memang sukar untuk mengawal selera makan ketika berada di rumah sepanjang masa ini. Tapi jangan risau, apa kata anda ikuti tips yang dikongsikan oleh Cikgu Anwar di laman Twitter miliknya ini.
Makan bawang putih dan madu
Bunyinya mungkin kedengaran pelik dan kurang menarik tetapi sebenarnya dia telah amalkan makan bawang putih bersama madu setiap hari. Percubaannya ternyata tidak sia-sia kerana dia telah berjaya turun 4kg selama tempoh 14 hari PKP sebelum ini.
Lepas 14 hari lockdown, aku turun berat 4kg. Wow. Okay aku nak maintain raw garlic dengan madu setiap hari.
Menurutnya, dia mengambil bawang putih dua hingga lima gram pada setiap hari, sekaligus dapat mengelakkan penyakit kanser prostat. Malah sepanjang tempoh ini, dia masih lagi makan seperti biasa dan tidak mengamalkan diet yang ketat. Cara makannya pula hanya potong halus bawang putih, campur sekali dengan madu dan makan bersama air suam.
Bantu kawal selera makan
Banyak sebenarnya kebaikan yang anda boleh terima jika amalkan makanan ini secara mentah antaranya ialah dapat membantu menurunkan berat badan, meningkatkan kadar metabolisma badan serta mengurangkan rasa lapar.
Menurut satu laporan, bawang putih dan madu sememangnya boleh membantu menurunkan berat badan. Gabungan dua bahan ini membantu proses detox dalam badan dan melancarkan penghadaman seseorang. Sistem penghadaman yang baik adalah kunci yang membawa kepada kejayaan menurunkan berat badan.