Bakal bernikah pada tanggal 5 Jun depan, pengacara Hanis Zalika mahu menggunakan tempoh dua bulan sebelum tarikh pernikahan untuk mengenal tunangnya Hairul Azreen dengan lebih mendalam agar ia akan lebih mudah jika mereka sudah bergelar suami dan isteri kelak. Buat masa ini Hanis sedang memanfaatkan masa yang ada untuk mendekati Hairul.
Itu benda paling penting dalam fasa pertunangan ini supaya saya dapat tahu dan belajar memahami dia dengan lebih terperinci dan mendalam.
Jadi apabila kami sudah berumah tangga nanti senanglah sikit untuk melayari kehidupan baru itu bersama. Saya harap sangat tempoh ini memadai untuk saya mendekati Hairul.
Pelbagai bahan bacaan tentang tips untuk menjadi isteri dan alam perkahwinan sudah dibaca oleh Hanis bagi menambah ilmu pengetahuan serta sebagai persediaan baik dari segi mental mahupun fizikal untuk menempuhi alam perkahwinan dan bergelar seorang isteri.
Pada masa yang sama beliau berharap segala persiapan berjalan dengan lancar dan tidak dilanda dengan ujian yang berat sepanjang tempo pertunangan. Ini kerana kata orang-orang tua mereka yang bertunang ini akan menghadapi pelbagai cabaran.
Yang saya tekankan sekarang adalah persediaan mental dan diri sendiri untuk jadi isteri orang. Saya banyak dengar ceramah dan baca buku untuk tambah ilmu pengetahuan.
Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Yang paling saya harapkan dalam fasa ini (pertunangan) kami tak diuji dengan hebat yang di luar kemampuan diri.
Semoga kami dapat harungi fasa ini dengan baik, insyaAllah. Mohon semua doakan yang terbaik agar kami dapat disatukan.
 Bukan mudah untuk seseorang itu melangkah fasa yang baru terutama sekali jika sebuah perkahwinan akan terbina. Mungkin pada mulanya, kedua-duanya akan merasa sedikit kekok tetapi jika sudah selesa nanti pasti anda berdua akan tahu baik atau buruk pasangan anda. Persediaan secara mental dan fizikal sememangnya perlu. Buat Hanis dan Hairul kami harap segalanya berjalan lancar untuk anda berdua.