July 3rd, 2015

Baru sahaja mendirikan rumah tangga beberapa minggu lepas, Hanis Zalikha dan Hairul Azreen kini sedang menikmati hidup sebagai pasangan suami isteri dan pada masa yang sama sedang memahami perangai masing-masing dengan lebih mendalam lagi. Buat Hanis, hidupnya kini lebih meriah dan terisi  selepas mendirikan rumah tangga.

Buat masa sekarang kami masih tinggal di rumah ibu bapa saya sementara menanti rumah kami siap diubahsuai. Alhamdulillah, kehidupan saya lebih seronok dan tambah meriah sebab apa saja yang saya nak buat mesti buat sama-sama dengan suami.

Hanis juga mendedahkan suaminya itu mempunyai sifat manja lebih-lebih lagi jika ia melibatkan soal makanan.

Dia tidak terlalu cerewet bab makan cuma kami masing-masing ada citarasa sendiri. Dia suka makanan bergoreng, saya pula suka makanan seperti sambal atau yang berkuah. Jadi kalau masak, saya akan masakkan apa yang dia suka dan kemudian saya masak juga apa yang saya suka.

Saya juga masih dalam proses ingin lebih kenal dan memahami satu sama lain. Selain dia seorang yang penyayang, baru saya tahu yang dia memang sangat manja. Misalnya, dia dah rasa air tangan saya, jadi dia nak saya saja yang masak untuknya. Disebabkan sikapnya yang terlebih manja, jadi dia tahu bagaimana nak manjakan saya.

Dalam pada itu, Hanis menyatakan beliau menyedari kritikan yang dilemparkan sesetengah pihak sejak kebelakangan ini terhadap sikap Hairul yang dikatakan suka menunjuk-nunjuk gara-gara berbelanja besar untuk majlis pernikahan mereka. Pernah menegur suaminya itu untuk tidak terlalu berkongsikan perihal mereka di laman sosial, Hairul bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri untuk tindakannya itu.

Bukan menunjuk-nunjuk tetapi Hairul sebenarnya seorang yang sangat berusaha dan suka memberi inspirasi kepada orang lain. Saya ada menegurnya tetapi dia beritahu yang niatnya bukan mahu berlagak tetapi sekadar berkongsi dan memberi semangat pada orang lain.

Misalnya apabila dia mencapai sesuatu kejayaan itu, dia rasa dia mahu beri semangat pada orang lain untuk capai apa yang diimpikan seperti mana yang dia dapat.

Memang manis hidup berumah tangga, terasa diri tidak lagi keseorangan dan pasti ada peneman saat suka dan duka.  Malah sikap manja seseorang itu hanya pasangannya yang dapat merasa. Harapnya Hanis Zalikha dan Hairul Azreen bahagia bersama sehingga ke akhir hayat.

Sumber Berita: Malaysian Digest

 

 


Comments are closed.

Loading...