Sudah hamil selama 7 bulan dan dijangkakan bakal bersalin sekitar hujung tahun ini, aktres Hanez Suraya bagaimanapaun enggan mendedahkan jantina anaknya sehingga tiba saat kelahiran nanti.
Mempunyai hasrat untuk menimang cahaya mata perempuan, Hanez juga memberitahu beliau cukup teruja melalui fasa kehamilan kerana dikelilingi oleh orang yang sangat mengambil berat ke atas dirinya terutama sekali suami beliau Romie Razin Adilha yang sering memanjakan Hanez.
Alhamdulillah keadaan saya sekarang terkawal cuma kadang-kadang itu biasalah bayi dalam perut lasak sedikit. Jadi mula menendang perut saya dengan kuat. Kadang-kadang sampai sesak nafas saya dibuatnya. Tapi pada masa sama seronok melayan gelagatnya. Sejujurnya saya cukup bahagia melewati fasa hamil ini.
Dengan keadaan sekeliling yang sentiasa mengambil berat saya dan bayi dalam perut ini, lagilah seronok amat sangat. Rezeki itu pun sentiasa ada. Lagi-lagi suami saya ada di sisi. Mulalah nak manja lebih. Cakaplah apa sahaja nak makan, pasti dapat dan sebab itulah sampai saya sekarang ini bertambah bulat.
Sebagai persiapan untuk bersalin, Hanez sering menonton cara-cara untuk melahirkan bayi menerusi video di YouTube. Malah, beliau juga sudah mempelajari kaedah yang betul untuk memandikan bayi nanti.
Saya juga secara curi-curi melihat video di YouTube untuk melihat cara bersalin. Suami saya tak benarkan kerana saya ini memang penakut. Tapi saya tetap tengok kerana nak belajar cara-cara ‘push’ anak kerana tiada pengalaman.
Saya juga melihat video memandikan bayi. Pendek kata macam-macamlah saya belajar hanya klik di hujung jari.
Setiap wanita akan merasa cuku teruja ketika hamil apatah lagi menanti detik kelahiran anak yang dikandung selama 9 bulan lamanya. Semoga Hanez Suraya dan keluarga terus bahagia dengan kehadiran orang baharu tidak lama lagi.