Mahu membuka lembaran baharu, pelakon Haneesya Hanee mengesahkan kini menggunakan nama sebenar iaitu Sharifah Haneesya dalam urusan kerjayanya.
Pemilik nama penuh Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, itu berkata, saranan ibunya menjadi dorongan untuk meninggalkan sejarah lama sekaligus memberi sinar baharu kepada masa depan kerjayanya.
Hari ini saya buat keputusan untuk kembali menggunakan nama asal. Ibu bertanya, kenapa tidak guna nama sebenar, dan saya sendiri memang mahu membuka lembaran baharu. Biarlah Haneesya Hanee dikenang dengan cara itu. Saya harap dengan menggunakan nama sendiri, lebih banyak perkara baik akan berlaku.
Tambahnya,
Insya-Allah. Saya percaya kata-kata seorang ibu. Kalau dia cakap, kita ikut sahaja. Semoga Sharifah Haneesya bersinar terang,” katanya melalui Instagram.
Hantaran itu turut disertakan dengan dua keping foto bersama ibunya, Nor Hasnida, 55, yang memaparkan kegembiraan dan wajah teruja mereka.
Difahamkan, tindakan menukar panggilan kepada Sharifah Haneesya dibuat susulan namanya kembali dikaitkan dengan kontroversi mahkota kemenangan dalam pertandingan ratu yang ditarik balik sebelum ini.
Selepas lapan tahun, pelakon dan model itu memilih untuk mendedahkan perkara sebenar berkaitan isu video di kelab malam yang kembali tular baru-baru ini.
Menurutnya, dia terpaksa bersuara kerana masih ramai yang membuat spekulasi liar berhubung kejadian tersebut.