Setelah hampir dua tahun menyepikan diri daripada industri seni akibat masalah peribadi, pelakon dan juga penyanyi, Alif Aziz mengakui dirinya teruja untuk memulakan penggambaran telemovie terbaru berjudul Bukan Cerita Cinta Cliche’ (BCCC).
Menurut Aliff lagi, BCCC merupakan telemovie pertama buat dirinya setelah hampir dua tahun tidak terlibat dalam mana-mana naskah drama terbaru.
Menganggap telemovie tersebut sebagai ‘pembuka tirai’ tahun 2021 serta laluan baru untuk perjalanan kerjaya kembali bersinar, Aliff turut berasa gementar untuk beraksi semula.
View this post on Instagram
“InsyaAllah BCCC juga adalah pembuka tirai 2021 saya dan pembukaan untuk perjalanan kerjaya saya semula. Tidak dinafikan selepas dua tahun tak masuk set penggambara saya gementar dalam masas sama, teruja juga. Tetapi perasaan gementar itu hilang selepas mulakan scene pertama dan kedua.”
Dalam pada itu, suami kepada pelakon Bella Astillah ini sempat mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam penerbitan telemovie tersebut kerana memberikannya peluang dan kepercayaan untuk membawa watak sebagai Faizal dalam BCCC.
View this post on Instagram
Dia yang bakal tampil dalam drama bergenre romantik komedi ini turut berharap penonton akan merasa terhibur dan menikmati jalan cerita yang baginya tidak terlalu payah untuk dihadam penonton.
Telemovie Bukan Cerita Cinta Cliche ini turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Mimi Lana, Syafiq Kyle, Lienda Halim, Sara Zulkifli dan ramai lagi. Ianya boleh ditonton bermula pada malam ini tepat jam 9 malam hanya di Astro Citra dan Citra HD.