Penantian hampir dua tahun nampaknya membuahkan hasil apabila sebuah telefilem kontroversi bertajuk Demi Tuhan Aku Bersaksi yang berkisarkan kehidupan golongan Lesbian, Gay, Biseksual & Transgender (LGBT) bakal ditayangkan pada hujung bulan ini.
Tempoh yang cukup lama itu semestinya membuatkan setiap tenaga produksi yang terlibat dalam penghasilan drama tersebut ternanti-nanti bilakah ianya akan ditayangkan.
Menemui pelakon utama telefilem tersebut, Syafie Naswip sama sekali tidak menyangka naskah lakonannya sebagai mak nyah itu akhirnya bakal menemui penonton. Namun, bagi Syafie dia menganggap bahawa penerbitan telefilem tersebut adalah sebuah hal yang bagus.
“Saya tak jangka cerita ini akan keluar, tapi bila diumumkan tu, saya anggap ini satu kebaikan dan hal yang bagus. Maklumlah, sebab dah lama sangat, ingatkan akan disimpan saja memandangkan sebelum ini siap ada petisyen untuk tidak ditayangkan,”
Turut meminta orang ramai untuk tidak terlalu cepat menghukum karya tersebut sebelum ianya ditayangkan, Syafie memohon masyarakat untuk menontonnya terlebih dahulu sebelum bertindak untuk mengecam.
Manakala selaku penerbit pula, pelakon Fadzil Zahari bersyukur apabila naskah tersebut akhirnya akan menemui penonton selepas menerima pelbagai kecaman daripada masyarakat.
“Setelah lebih 80,000 petisyen tandatangan untuk haramkan tayangan telemovie Demi Tuhan Aku Bersaksi pelbagai kecaman yang abang, isteri, keluarga, pengarah, kru dan pelakon terima.Semalam dengan izin Allah Taala, telemovie ini dah mendapat tarikh tayangannya, 31 Oktober 2020, jam 9 malam di TV1”
Menulis panjang di ruangan Instagramnya, Fadzil turut meminta penonton supaya menilai sendiri karya arahan Eyra Rahman kerana ianya sarat dengan mesej demi kebaikan hidup bermasyarakat.
Mengimbas kembali, Fadzil sebelum ini pernah lantang bersuara kerana meminta penjelasan daripada pihak penyiar televisyen berhubung penerbitan telefilem tersebut.
Sumber : Astro Gempak