November 18th, 2020

Mendedahkan dirinya kini sedang sarat hamil anak sulung, pelakon Zahirah Macwilson dan suaminya Aiman Hakim Ridza bakal menyambut kelahiran cahaya mata tidak lama lagi.

Usia kandungan Zahirah yang kini memasuki bulan ke-8 ini khabarnya sentiasa mendapat perhatian umum kerana penampilannya dilihat tetap cantik dan tidak berapa menunjukkan perubahan pada berat badannya.

Selain mendapat pujian netizen kerana tampak menawan selepas berkongsi gambar Oufit Of The Day (OOTD) dirinya di laman Instagram, bentuk fizikal Zahirah kini seakan menjadi bualan para pengikut di laman berkenaan.

Meskipun sebelum ini mendedahkan bahawa berat badannya naik 10 kilogram sepanjang proses kehamilan, namun beliau masih tetap kelihatan langsing sehingga ada yang mendakwa bahawa perut Zahirah yang sarat hamil itu dilihat sama seperti mereka ketika hamil empat bulan.

Walau bagaimanapun, selain menitip kata positif buat Zahirah, rata-rata pengikutnya tidak terlepas mendoakan agar proses kehamilannya sentiasa dipermudahkan, malah mereka juga dikatakan tidak sabar menanti berita pasangan itu menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi.

Untuk rekod, pasangan ini kini berada di rumah ibu Zahirah bagi menjalani proses kelahiran dan berpantang kelak di Perth, Australia.


Tinggalkan Komen Anda Di Sini

Loading...