Mengetahui dirinya kini hamil anak sulung, pelakon dan pengacara, Ain Edruce akui bersyukur dikurniakan rezeki tersebut selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga.
Katanya, beliau dan suami langsung tidak pernah merancang dan mendedahkan mereka akan bersedia sahaja mahu memiliki cahaya mata.
Namun, jadual kerja seni yang terlalu sibuk sebelum ini menyebabkan mereka tidak mempunyai rezeki lagi sebelum ini.
“Bagaimanapun, alhamdulillah sekarang saya mengandung dan usia kehamilan juga sudah mencecah empat bulan. Kini, saya tidak boleh terlalu aktif bekerja dan kena menjaga kandungan sebaik mungkin. Suami juga selalu ingatkan saya supaya berhati-hati, tak boleh sibuk sangat dan menjaga pemakanan harian kerana bayi memerlukan nutrisi terbaik untuk perkembangannya. Saya juga banyak mendapat maklumat mengenai penjagaan kehamilan. Apapun sebagai bakal ibu, saya teruja nak menimang cahaya mata ini sendiri.”
Kata Ain, meskipun ramai dalam masyarakat kini seakan terkesan dengan pandemik COVID-19, namun dirinya akui ini merupakan rezeki terindah buatnya dan suami.
“Saya tahu, tahun ini juga ramai orang mengalami masalah kewangan terjejas, hilang pekerjaan dan sebagainya. Namun, rezeki saya pula sangat bermakna dengan kehadiran bayi ini nanti. Semoga kandungan saya berada dalam keadaan sihat dan terima kasih pada keluarga, rakan dan semua peminat yang sudah mendoakan apa saja terbaik buat saya bersama suami.”
Disoal mengenai jantina anak, Ain berkata beliau dan suami enggan mengetahuinya lagi. Hal ini kerana, mereka akan menerima dengan hati yang terbuka sahaja dikurniakan zuriat lelaki mahupun perempuan.
Untuk rekod, Ain dan Amirul telah selamat mendirikan rumah tangga pada 13 Disember 2019. Hasil perkongsian hidup bersama, Ain kini mendedahkan dirinya telah hamil 4 bulan.
Sumber: Harian Metro