Usahawan terkenal, Haliza Maysuri mencuri perhatian ramai selepas berkongsi bahawa dia telah menempah pakaian untuk ke alam kubur sebagai persiapan menghadapi kematian.
Difahamkan, kain kafan berkenaan ditempah khas daripada pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim, dan merupakan set kit kafan yang dianggarkan berharga RM999 bagi setiap set.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Haliza menerusi satu hantaran di Threads apabila dia memuat naik video pertemuannya bersama Rizalman, selain memaparkan sesi unboxing kit kafan tersebut.
Menurut Haliza, keputusan itu dibuat sebagai satu bentuk peringatan diri serta persediaan awal untuk kehidupan selepas mati.
“Selalu saya tempah busana dunia harga ratusan ribu, selalu dikecam. Mati nanti pakai kain kapan je.”
“Hari ini, saya tempah pakaian alam kubur. Jenama Rizalman Ibrahim. Pakaian dunia saya berjenama, akhirat pun kenalah yang terbaik dan berjenama. Barulah seimbang dunia dan akhirat.”
“Yang sibuk mengira dosa orang, dah tempah ke kain kapan untuk bawa mati?” katanya.
Malah, usahawan itu turut menyifatkan perkara tersebut sebagai satu wasiat peribadi sekiranya dia meninggal dunia kelak.
“Ini wasiat, kalau saya mati saya tak nak kain kapan biasa. Saya nak kain kapan ini. Sebagaimana baju saya di dunia, begitu jugalah jenama mati saya,” jelasnya.
Perkongsian tersebut sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen, dengan ada yang menyifatkannya sebagai peringatan kematian, manakala segelintir lain mempersoalkan pendekatan yang diambil oleh usahawan berkenaan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
