Boleh dikatakan kes amang seksual yang melibatkan pendakwah bebas PU Azman sehingga kini menjadi bualan ramai, bukan saja netizen malah selebriti turut menyuarakan pandangan mereka.
Selepas Baby Shima mengeluarkan kenyataan sindiran buat beberapa penceramah bebas yang lain, kali ini giliran penyanyi serta komposer lagu, Damian Mikhail pula bersuara.
Melalui hantaran Instagram yang dibuat olehnya baru-baru ini, Damian berkongsi keratan artikel memaparkan berita PU Azman didakwa melakukan amang seksual.
View this post on Instagram
Dalam pada masa yang sama, Damian turut sempat mempersoalkan kemana pendakwah-pendakwah lain yang lantang menyuarakan pandangan mereka dalam sesuatu isu sebelum ini.
Menurutnya, jika soal konsert ataupun selebriti-selebriti lain, sudah pasti pendakwah-pendakwah akan cepat membuat hantaran video ataupun gambar seolah-olah ingin berjuang demi Islam tapi bila isu PU Azman ini berlaku, Damian berasa mereka membisukan diri.
Mana pula pergi suara-suara suci ni sekarang? Geng sendiri punya taste lain macam. Takdak bunyi ka?
Melalui hantaran yang sama, Damian merasakan tindakan para ustaz serta ustazah untuk mendiamkan diri ini adalah berat sebelah.
Sekadar info, PU Azman didakwa di Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan membuat amang seksual secara fizikal terhadap dua orang remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun ini. Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.