Sudah pun menemui penonton menerusi slot Akasia di saluran TV3, drama Rahimah Tanpa Rahim arahan pengarah Eoon Shuhaimi sebelum ini pernah menerima kritikan tajuk cerita yang bagi anggapan sesetengah netizen, agak melucukan.
Drama yang dibintangi pelakon hebat seperti Azlee Khairi, Puteri Aishah, Hafidz Roshdi dan Ezzaty Abdullah ini diperlekehkan kerana ada yang menganggap judul diberikan itu tidak sesuai. Malah, ada juga individu yang bertindak menukar tajuk drama tersebut dengan mengaitkannya dengan sesuatu yang lucah.
Penerbit drama tersebut, Jalena Rejab yang ditemui media telah tampil mengulas mengenai naskah terbaru 28 episod itu bukanlah hanya berkisah mengenai wanita yang lahir tanpa rahim semata-mata.
View this post on Instagram
“Rahimah Tanpa Rahim mengangkat kisah Rahimah yang dilanda masalah keluarga dan cinta manakala sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH) yang dihadapi Rahimah hanyalah subplot kepada jalan cerita ini. Bukanlah kita nak persembahkan cerita ini 100 peratus mengenai rahim.”
Dalam pada itu, Jalena menjelaskan bahawa dia ingin menekankan masalah sebenar yang dihadapi kaum hawa di dunia khususnya Malaysia yang dilahirkan tanpa rahim dan turut memberitahu bahawa dia sebenarnya tidak ambil peduli mengenai gurauan yang dilemparkan oleh netizen di media sosial.
View this post on Instagram
Namun, yang membuatkan dia sedikit terkilan adalah apabila ada juga orang daripada industri seni itu sendiri yang tampil memperlekehkan judul naskah ini tanpa menonton drama ini terlebih dahulu.
Sekadar info, MRKH adalah keadaan di mana seorang wanita dilahirkan tanpa mempunyai sistem peranakan rahim dan saluran vagina yang membuatkan seseorang itu tidak boleh hamil. Mengikut kajian, setiap satu dalam 5,000 wanita di seluruh dunia menghidap penyakit ini dan keadaan itu boleh mencetuskan tekanan perasaan dan menjejaskan minda kerana ianya dianggap sebagai kekurangan bagi seorang wanita.