Sejak Hafiz Hamidun mengumumkan beliau bakal menikahi pengasas produk kosmetik terkenal dan kaya, Joy Revfa yang dikenali menerusi empayar MERVE Cosmetics, ramai yang beranggapan Hafiz cuma ingin menumpang kesenangan bakal isterinya itu.
Ketika dilemparkan dengan tuduhan sebegitu, Hafiz menegaskan beliau sedikit pun tidak mempunyai niat untuk mengambil kesempatan terhadap Joy. Hafiz sebenarnya sejak dahulu menginginkan pasangan hidup yang pandai di dalam bidang perniagaan.
Sebenarnya saya sendiri tak kenal dan tidak mengetahui siapa dia pada peringkat awak. Jadi kalau ada tuduhan yang mengatakan saya menumpang kesenangan dia, anggapan tersebut tidak betul sama sekali.
Sejak dahulu saya memang mencari pasangan hidup yang pandai berbisnes. Saya juga mempunyai rangkaian perniagaan sendiri dan tak mungkin mahu lagi menumpang orang lain. Jadi, bila bertemu dan ada keserasian, kami lanjutkan sahaja ke pernikahan.
Menurut Hafiz, beliau tidak ingin ambil pusing dengan segala kritikan dan tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Setiap perkara negatif sedikit pun tidak akan menjadi kudis kepada dirinya.