Pelakon Hafidz Roshdi hari ini dilepas dan dibebaskan sepenuhnya oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu daripada pertuduhan mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri, selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa pengadu tidak lagi berhasrat meneruskan kes.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri mengeluarkan perintah Acquittal and Discharge (A&D), sekali gus menamatkan sepenuhnya prosiding terhadap pelakon berusia 30 tahun itu tanpa risiko untuk didakwa semula.
Peguam Hafidz, Datuk Akberdin Abdul Kader, berkata keputusan tersebut adalah adil dan bersesuaian dengan prinsip keadilan, memandangkan pengadu telah menarik semula laporan polis dan enggan meneruskan perbicaraan.
Jika hanya diberikan Discharge Not Amounting to Acquittal (DNAA), anak guam saya masih boleh didakwa semula pada bila-bila masa. Ini meletakkannya dalam keadaan ketidaktentuan sedangkan pihak pengadu sendiri sudah menarik diri.
Tambah beliau, kes berkenaan sudah berlarutan terlalu lama dengan sebanyak 11 kali sebutan mahkamah sejak tahun 2023, namun pengadu masih tidak hadir pada tarikh perbicaraan terakhir.
Hafidz ketika ditemui selepas prosiding meluahkan rasa syukur dan menganggap keputusan tersebut sebagai kelegaan besar buat dirinya.
Saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada Nabi Muhammad SAW, peguam saya, ibu bapa, keluarga, peminat dan pihak media yang hadir memberi sokongan.
Pelakon itu turut menegaskan bahawa beliau tidak menyimpan sebarang dendam dan ingin terus melangkah ke hadapan dengan tenang.
Untuk rekod, Hafidz sebelum ini didakwa mencederakan bekas isterinya dalam satu kejadian yang tular, namun pada 6 Julai 2023, Nurul Shuhada dilaporkan menarik semula laporan polis yang dibuat.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.