Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar, untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa mereka bagi menghadiri program islamik di Istanbul dan Bosnia bulan depan.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan daripada peguam Shaarvin Raaj, yang mewakili pasangan berkenaan.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini, serta dikembalikan kepada mahkamah 13 November ini.
Menurut Shaarvin, kedua-dua anak guamnya akan menghadiri program Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 11 November ini.
Saya mohon pasport diserahkan hari ini untuk permohonan visa dan ia akan diserahkan semula kepada mahkamah pada 13 November.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.
Sebelum ini, mahkamah pernah membenarkan pasangan itu mendapatkan pasport bagi menunaikan umrah pada Disember 2024.
Untuk rekod, pada 5 Disember tahun lalu, Vivy Yusof atau nama penuhnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan suaminya Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa dengan niat bersama sebagai pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah terhadap dana pelaburan yang diamanahkan kepada mereka dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun bank milik FashionValet kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Bukit Damansara, pada 21 Ogos 2018.
Pasangan berkenaan dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebatan, dan denda jika disabit kesalahan.
Sleain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.