Tugas seorang guru adalah untuk mendidik, membimbing dan mengajar di dalam kelas. Guru juga memainkan peranan penting untuk mendisiplinkan kelakuan dan budi pekerti pelajar. Namun menjadi seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan banyak pengorbanan masa dan tenaga.
Sama seperti seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Malim Longkunggongon sanggup menempuh perjalanan meredah hutan, sungai, bukit, jambatan gantung dan titian kayu sejauh 10 kilometer selama lebih tujuh jam sambil memikul peti ais seberat hampir 40 kilogram. Semuanya untuk menyediakan kemudahan kepada sembilan muridnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Longkungongon, Penampang.
Berdasarkan video posting di Facebook yang dibuat oleh seorang guru kaunselor, Harry atau nama sebenarnya Harry Yanto Bikal, telah melalui satu perjalanan yang mencabar.
Video yang berdurasi dua minit 10 saat telah tular di Facebook dengan mendapat tontonan lebih 203,187 dan rata-rata netizen meluahkan rasa kagum dengan pengorbanan Cikgu Harry. SK Longkungongon terletak jauh di kawasan pedalaman bersempadan antara dua daerah iaitu Penampang dan Tambunan.
Cikgu Harry dikatakan membeli peti ais tersebut dengan hasil sumbangan guru-guru di sekolah berkenaan bagi memastikan bekalan bahan mentah seperti ayam, ikan dan sayur kepada pelajar asrama di sana mampu bertahan lebih lama.
Dimaklumkan lagi, rancangan untuk memikul peti ais ini sudah lama dirancang kerana keadaan kawasan yang berbukit sekolah tersebut susah dilalui oleh mana-mana kenderaan.
Difahamkan lagi, Cikgu Harry yang telah bertugas di sekolah itu sejak tahun 2017 tidak pernah patah semangat untuk menyediakan yang terbaik untuk pelajarnya .