Dahulu, penulis selalu teringat hukuman rotan sudah cukup sinonim dengan mereka yang menyalahi peraturan di sekolah dan kerap sekali digunakan untuk memberi pengajaran buat mereka yang tidak menyiapkan kerja rumah. Tidak dapat dinafikan setiap kali nampak rotan dibawa bersama cikgu mesti semua pelajar akan kecut perut.
Namun, bila melangkah masuk ke zaman millenium bukan anak-anak murid yang kena marah dengan guru tetapi jika para pendidik merotan anak didik mereka ibu bapa akan hadir ke sekolah dan kembali menyalahkan guru pula. Namun, masih ada juga ibu bapa yang tidak kisah jika anak mereka dirotan.
Setiap orang mempunyai pandangan mereka tersendiri berhubung isu tersebut. Buat pelakon Yasmin Hani pula, beliau menganggap kaedah merotan tidak relevan lagi pada masa kini dan menyatakan masih banyak lagi kaedah lain boleh digunakan.
Saya rasa guru naik tangan kepada pelajar tidak perlu lagi sekarang ini kerana seseorang pelajar mungkin mempunyai gangguan atau masalah dalam hidupnya menyebabkan mereka melakukan kesalahan.
Guru masa kini tidak perlu untuk mengikut cara guru-guru duhulu mengajar dengan merotan pelajar kerana masa kini terdapat pelbagai cara lain boleh dilakukan untuk menghukum para pelajar.
Yasmin yang ditemui dalam sebuah majlis untuk berkongsi kisah guru di Inti International University Collage, Subang Jaya turut menyarankan agar seorang guru mengambil inisiatif untuk berkomunikasi secara baik dengan pelajar dan mengetahui masalah mereka sebelum tindakan selanjutnya dikenakan kepada mereka.
Bagi saya apa yang boleh guru lakukan ialah mengorek rahsia atau masalah yang dialami oleh pelajar dengan menggunakan perkataan How (bagaimana) dan What (apa) daripada bertanyakan why (kenapa) kerana ia dilihat seperti melakukan provokasi kepada sesorang pelajar.
Guru harus menggunakan cara psikologi kepada pelajar kerana secara langsung pelajar itu akan bercakap dan mereka dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi secara sendiri.
Pada masa yang sama beliau juga berharap agar guru dan ibu bapa dapat bekerjasama dalam mendidik dan tidak menyalahkan diantara satu sama lain.
Jujur jika tiada guru yang garang dan merotan untuk mengingatkan pelajar tersebut atas kesalahannya rasanya tiada anak didik mereka yang akan berjaya. Kadang-kadang kita harus tegas dalam sesuatu.