Seorang ibu membuat laporan polis selepas guru kepada anak lelakinya didakwa membawanya bermalam di hotel di Genting Highlands.
Guru lelaki tersebut disyaki mengumpan mangsa berusia 12 tahun itu sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh kepada kanak-kanak berkenaan.
Menurut ibunya, kejadian itu sudah beberapa kali berlaku dan keluarga hanya mengetahui mangsa diperlakukan sebegitu pada Julai lalu.
Ketika mendapat tahu, ibu mangsa berusia 40-an itu terkejut melihat video perbuatan guru terbabit yang menghantar rakaman tersebut kepada anaknya.
Anaknya kemudian menceritakan apa yang berlaku di mana dia dipaksa guru terbabit. Terbaru suspek sekali lagi membawa anaknya ke sebuah hotel lain di Genting Higlands pada 8 September lalu selepas habis waktu sekolah.
Apabila dihubungi ibu mangsa yang menyedari anaknya tidak pulang ke rumah, suspek memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan ke sana bersama murid tersebut.
Namun, apabila ibu mangsa memintanya menghantar anaknya pulang suspek tidak mengendahkan dan tetap meneruskan perjalanan.
Wanita itu kemudian melaporkan perkara tersebut kepada pihak sekolah sebelum dinasihatkan untuk membuat laporan polis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata laporan telah dibuat di Balai Polis Petaling dan suspek sudah pun ditahan.
Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 14(a) akta kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 (pindaan 2023).