Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengarahkan satu laporan lengkap disediakan berhubung tindakan seorang guru yang membuat hantaran jelik berkaitan nahas tragis yang telah meragut nyawa 15 orang penutut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik.
Menurut laporan Sinar Harian, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak iaitu Khairudin Abu Hanipah berkata, laporan lengkap mengenai isu tersebut perlu disediakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengikut surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan pengurusan isu ini.

gambar hiasan
Beliau juga memaklumkan bahawa siasatan mendapati pemilik akaun Facebook yang terlibat adalah seorang pendidik yang bertugas di salah sebuah sekolah menengah di negeri Perak.
Saya kesal atas tindakan pemilik akaun Facebook berkaitan dengan tragedi pelajar UPSI.
Apabila perkara tersebut telah tular, pihak PPD telah menghubungi pengetua dan seterusnya menasihati guru tersebut untuk memadamkan hantaran berkenaan.
Semakan pada jam 8.10 malam (Selasa), hantaran berkenaan telah dipadamkan.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai seorang guru yang mencetuskan kontroversi apabila memuat naik hantaran yang dianggap tidak sensitif dan menyinggung perasaan keluarga mangsa.
Hantaran tersebut menjadi tular di media sosial, di mana guru tersebut menganggap kematian kesemua mangsa sebagai satu kematian yang ‘hina’.
Lelaki yang terlibat itu turut menyifatkan mangsa sebagai bukan golongan orang beriman, dengan mendakwa mereka meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Tindakannya yang kontroversial itu menambah kemarahan ramai, terutamanya di kalangan keluarga mangsa.
Difahamkan, guru tersebut kemudian mengaku menghidap penyakit skizofrenia dan memohon maaf melalui satu hantaran yang dimuat naik, namun permohonan maaf itu tidak mampu menghapuskan rasa marah dan kecewa yang ditimbulkan oleh kenyataannya.