Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melaksanakan satu projek rintis bagi melantik warden sepenuh masa daripada kalangan bekas pegawai tentera dan polis di beberapa Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, langkah tersebut adalah inisiatif proaktif dalam usaha memperkukuh tahap disiplin pelajar serta mencapai matlamat ‘sifar buli’ di institusi pendidikan berprestij itu.
Cadangan ini telah saya bangkitkan dalam Majlis MARA dan telah dipersetujui sebulat suara. Buat permulaan ini, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif ini.
Kerjasama juga akan dilakukan dengan persatuan veteran tentera dan bekas polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan.
Menurut beliau, Bahagian Pendidikan Menengah MARA akan bertanggungjawab merangka garis panduan yang jelas meliputi terma rujukan, tanggungjawab dan skop tugasan warden yang dilantik.
Inisiatif ini penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Ini juga bagi memastikan matlamat MARA untuk sifar buli di MRSM benar-benar mampu direalisasikan.
Sebelum ini, beberapa kes buli dilaporkan di institusi pendidikan, mendorong MARA mengambil langkah pencegahan lebih tegas demi kesejahteraan pelajar dan kelangsungan imej MRSM sebagai sekolah elit berasrama penuh.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.