Salah seorang ahli kumpulan nasyid UNIC, Fakhrul tampil memberi amaran buat mereka yang tidak bertangunggjawab menggunakan foto dirinya bersama seorang lagi penceramah bebas, Abdullah Khairi untuk mempromosikan sebuah perniagaan pelaburan palsu yang ternyata telah memperdayakan masyarakat di luar sana.
Bagi mengelakkan lebih ramai tertipu dan terperdaya dengan iklan tersebut, Fakhrul UNIC telah memuat naik sebuah entri pesanan dan amaran buat pemilik perniagaan berkenaan.
Fakhrul dalam masa yang sama menjelaskan bahawa dia pernah tampil menafikan penglibatannya dalam mana mana perniagaan berunsurkan pelaburan sebelum ini.
Dia turut tidak menyangka kerana masih ramai yang tertipu meskipun sudah terang lagi bersuluh poster yang diiklankan itu merupakan poster tidak rasmi.
“Banyak kali dah orang laporkan kepada saya bahawa ada orang pakai gambar kami dalam bisnes pelaburan. Sudah ramai juga ustaz ustazah yang dah nafikan tapi yang pelik ramai yang percaya tu dah kenapa? Sah sah poster tidak rasmi. Saya percaya anda bijak berfikir mana yang betul atau tak.”
Fakhrul sempat memberi amaran kepada mereka yang menjadi dalam dalam sindiket penipuan tersebut dengan memaklumkan bahawa perniagaan yang berpaksikan penipuan seperti itu sama sekali tidak akan mendapat keberkatan dan sangat dimurkai Allah.
Dimaklumkan bahawa poster yang digunakan individu tidak bertanggunjawab itu merupakan poster untuk program Fakhrul UNIC yang dilaksanakan tidak lama dahulu.