Berdasarkan pembentangan Bajet 2020 yang lalu, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM450 juta untuk diagihkan kepada beberapa e-wallet atau dompet digital di Malaysia. Ini adalah sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penggunaan dompet digital bermula tahun hadapan.
Baca: Belanjawan 2020 Tiada GST, Cukai Perkhidmatan Digital Diperkenalkan
Inisiatif ini juga akan menawarkan kredit sebanyak RM30 untuk digunakan di dalam dompet digital. Kerajaan juga telah mengumumkan antara senarai dompet digital yang terlibat adalah GrabPay, Touch n Go eWallet dan Boost.
Bagi mendapatkan kredit RM30 ini, pengguna perlu membuat permohonan pada aplikasi yang terpilih. Warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas dengan pendapatan RM100,000 setahun ke bawah layak untuk memohon.
Pengagihan ini akan berlaku bermula 15 Januari 2020 sehingga 14 Mac 2020. Sebarang maklumat terkini untuk agihan ini akan dimaklumkan oleh aplikasi yang terlibat dengan e-tunai rakyat.