SAN FRANCISCO: Google Glass, kaca mata yang mempunyai sambungan ke Internet akan boleh dibeli untuk tempoh masa yang terhad di Amerika Syarikat mulai 15 April ini.
Pengguna di Amerika Syarikat boleh membeli kaca mata tersebut pada harga USD1,500 menyertai golongan “explorers” yang memperolehi gajet itu untuk ujian sebelum dipasarkan, menurut Google dalam satu posting di Google+.
“Para penguji gajet itu terdiri daripada surirumah, artis, pakar bedah, penyanyi dan mereka telah memberikan perspektif baru bagi menambahbaik gajet tersebut,” kata Google.
“Setiap hari kami menerima permohonan untuk mendapatkannya.”
Pada 15 April ini, Google akan meluaskan program Explorer mereka dengan membolehkan pengguna di Amerika Syarikat membeli gajet tersebut di google.com/glass/start/how-to-get-one/.
Penjualan secara online itu akan dibuka pada tempoh yang terhad, namun Google tidak mengumumkan tempohnya.