Pembantu maya Google Assistant sebelum ini mempunyai kemampuan untuk membaca SMS yang diterima daripada peranti Android.
Tetapi berjuta-juta pengguna di seluruh dunia bergantung kepada aplikasi mesej lain untuk berkomunikasi dengan orang setiap hari bukan hanya menggunakan SMS.
Apa yang kita semua ketahui bahawa pembantu maya Google Assistant hanya mampu membaca teks SMS dan tidak mampu membaca banyak mesej dari aplikasi lain seperti WhatsApp, Telegram, Slack, Discord, GroupMe, dan sebagainya.
Kini, menurut laporan Android Police, Google Assistant boleh membaca mesej yang diterima pada aplikasi pihak ketiga seperti Telegram dan WhatsApp.
Ini boleh dilakukan sejurus selepas menerima notifikasi dari aplikasi tersebut.
Pengguna hanya perlu memberikan arahan suara “Hey Google read my messages” dan ia akan mula membaca.
Selepas itu arahan suara “Reply” boleh diberikan untuk membalas mesej tersebut dengan arahan suara atau menaip secara manual.
Fungsi ini diberikan secara berperingkat dan seperti biasa diterima pada pengguna peranti Pixel terlebih dahulu. Ia amat berguna di dalam situasi seperti membalas mesej penting ketika memandu misalnya.
Teknologi ini bagus untuk warga emas kerana mereka agak susah untuk membaca tanpa kaca mata dan juga orang yang cacat penglihatan. Harap-harapnya begitulah!
Sumber: ANDROIDPOLICE