Golongan Profesional Sering Alami Tekanan, Antara Ratusan Pesakit Psikiatri Di HKL

Trending

Golongan Profesional Sering Alami Tekanan, Antara Ratusan Pesakit Psikiatri Di HKL

Klinik Psikiatri Hospital Kuala Lumpur menerima sehingga 160 pesakit setiap hari yang mengalami pelbagai masalah mental daripada yangs serius seperti skizofrenia sehingga yang paling kerap dialami seperti depresi (kemurungan).

Advertisement

Kebanyakan yang datang ke sini merupakan wanita. Sejumlah besar pesakit terdiri daripada golongan profesional serta yang mempunyai status sosial yang tinggi, menurut laporan FMT ke pusat itu yang menempatkan 79 buah katil.

Kos tinggi bagi mendapatkan rawatan sama di hospital swasta mendorong semakin ramai dirujuk ke sini berkait masalah psikiatri.

Ia mencerminkan betapa serius masalah depresi seperti dialami serata negara – pada tahun lalu, umpamanya, Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan mendapati kenaikan berganda peratusan rakyat negara ini yang mengalami depresi, 29% daripada 12% pada 2011.

Apa sebenarnya yang menyebabkan mereka mengalami depresi?

“Tekanan untuk memuaskan hati ramai pihak, sukar puas hati dengan pencapaian dan ambil sesuatu perkara secara amat serius juga boleh menyebabkan individu murung,” kata pakar psikiatri HKL, Dr Tan Lee Khing, ditemui FMT di HKL semalam.

“Kebiasaannya, individu terbabit berpandangan negatif pada diri sendiri, suka mencari salah orang atau sendiri,” tambahnya, sambil menambah, golongan yang berisikko mengalami depresi termasuk mereka yang menceburi bidang dengan tekanan tinggi, termasuk doktor, jurutera dan ahli politik.

Dr Tan berkata walaupun depresi tidak ada punca spesifik, ia mungkin ada hubung kait dengan faktor genetik, kehidupan masa lampau atau cara seseorang dibesarkan, semuanya perkara yang cuba dicungkil pakar dalam tempoh rawatan.

Katanya, stigma masyarakat terhadap pesakit depresi tidak membantu membanteras penyakit ini.

“Mereka yang berdepan dengan kemurungan ini perlu mendapat sokongan masyarakat. Ramai ambil sikap sambil lewa biarpun menyedari ada di kalangan orang terapat menunjukkan tanda awal kemurungan.”

Beliau berkata daripada segi perubatan, depresi disebabkan bahan kimia Serotonin dan noradrenalin yang tidak seimbang di dalam otak.

Ia boleh dirawat melalui ubat anti-depresi tetapi bergantung tahap serius individu tersebut.

“Pesakit diberi sokongan moral bahawa penyakit mereka berpotensi sembuh. Pesakit perlu sokongan positif daripada orang tersayang seperti keluarga dan rakan-rakan. Setiap orang memiliki hak untuk gembira dan hidup bebas tekanan,” katanya.

Sepanjang tiga tahun berkhidmat di sini, beliau mendapati faktor seperti kekangan kewangan, penderaan, menjadi mangsa buli dan obsesi berlebihan antara penyebab depresi.

“Seseorang yang terlalu sedih dengan masalah dihadapinya dalam tempoh lama akan hilang fokus, kurang selera makan dan cepat putus asa. Dari situ mereka terfikir untuk membunuh diri kerana rasa sudah hilang harapan untuk teruskan hidup,” katanya.

Nasihat Dr Tan kepada orang ramai?

“Jangan ambil mudah terhadap masalah kemurungan. Waspada dengan sekeliling anda terutama ahli keluarga yang berpotensi alami kemurungan untuk segera dapatkan rawatan.”

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...