Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memerlukan khidmat daripada golongan belia untuk mengisi kekosongan kerja di Pasar Borong Kuala Lumpur. Penawaran ini adalah bagi mengelakkan pengusaha pasar borong bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing.
Menerusi program penempatan pekerjaan terhadap golongan gelandangan baru-baru ini, kekosongan yang ada masih belum diisi sepenuhnya. Banyak permintaan yang diperolehi daripada ahli persatuan pemborong, di Pasar Borong Kuala Lumpur yang merayu untuk mengambil pekerja asing akibat masalah kekurangan pekerja.
Tan Sri Annuar Musa menyeru kepada semua pengusaha dan pemborong untuk memberikan kerjasama dan kepercayaan kepada pihak kerajaan untuk tidak meneruskan pengambilan pakerja warga asing. Sebaliknya, peluang ini harus dibuka khas untuk warga tempatan yang rata-ratanya ramai memerlukan pekerjaan.
“Saya sedang memikirkan untuk membawa golongan belia bekerja (di pasar borong) menggunakan kaedah baharu termasuk gaji sekitar RM2,400 dengan kemudahan yang baik termasuk tempat tinggal dan pengangkutan sebagai persiapan mengisi kekosongan tenaga kerja itu.”
Jelas beliau lagi, perkara ini akan mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Penyediaan peluang pekerjaan khusus kepada golongan belia akan giat dilaksanakan untuk pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kementerian Wilayah Persekutuan akan menghimpunkan peluang pekerjaan termasuk di pasar borong yang memerlukan antara 3,000 hingga 4,000 pekerja.
Dengan usaha yang sedang dilaksanakan ini, kerajaan sangat berharap golongan belia tidak memilih perkerjaan dan mengganggap bekerja di pasar borong adalah tugas yang rumit dan sukar. Kerajaan tidak berhasrat untuk membuka semula peluang pekerjaan kepada warga asing.
Lambakan pekerja asing sebelum ini bukanlah satu isu yang baru. Oleh itu masyarakat tempatan perlu merebut kembali sektor pekerjaan yang sebelum ini dimonopoli oleh warga asing. Penularan wabak COVID-19 dan PKP harus dijadikan iktibar oleh semua rakyat Malaysia supaya tidak memiih untuk terus menganggur setelah hilang pekerjaan.
Ambil setiap peluang yang ada, sama ada untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan atau isi peluang pekerjaan yang sedang ditawarkan ketika ini.