Baru-baru ini tular video gimik yang dilakukan di sebuah majlis perkahwinan. Ketibaan rombongan pengantin menaiki dua buah ambulans mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang mengatakan kegunaan ambulans telah di salah gunakan.
Insiden ini telah mendapat perhatian daripada pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah di laman Facebook miliknya.
Ambulans swasta
Pengantin lelaki adalah seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) yang baru selesai program penempatan wajib dan dalam ‘gimik’ tersebut pengantin tiba dalam ambulans yang disewa.
Pengantin lelaki bertindak sebagai PPP yang membawa pengantin perempuan dari dalam ambulans dan kemudiannya menuju ke arah pentas persandingan. PPP berkenaan berhasrat untuk mengabdikan kenangan bagi perkahwinan beliau dengan menggunakan ambulans dan pakaian bertugas beliau.
Hakikatnya, petugas-petugas ini bangga dalam tugas mereka dan menggunakan majlis perkahwinan untuk mempamerkan perasaan ini dalam majlis bersejarah mereka.
Jangan salah anggap
Pihak KKM berharap masyarakat terutamanya dalam media sosial tidak tersalah membuat anggapan kerana ambulans yang digunakan adalah bukan ambulans KKM dan disewa dari pihak swasta. Majlis perkahwinan adalah majlis persendirian petugas PPP tersebut dan berlangsung dengan cuti yang diluluskan.
Pihak KKM turut mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada pasangan pengantin baru tersebut dan berharap pihak masyarakat dan media sosial mendapat gambaran yang jelas akan fakta sebenar tentang perkara ini.