Walaupun pentas Anugerah Juara Lagu ke 34 (AJL34) telah melabuhkan tirainya, masih hangat lagi diperkatakan mengenai kontroversi persembahan beberapa finalis.
Antaranya persembahan Drama Band yang penuh sindiran dan juga gimik gaun berdarah Aina Abdul yang dianggap keterlaluan. Ia menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak yang mendakwa persembahan mereka menyentuh isu sensitif dan memberikan impak negatif kepada masyarakat.
Bukan itu sahaja, persembahan kedua-dua finalis itu dianggap sudah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh stesen televisyen.
Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Johan Ishak menjelaskan pihaknya terpaksa ‘menggantung’ video persembahan Drama Band dan Aina Abdul di YouTube TV3 berikutan kontroversi terhadap gimik persembahan melampau.
Pihak penganjur AJL 34 menegaskan mereka tidak tahu sepenuhnya tentang gimik sesetengah persembahan pada malam anugerah tersebut.
Sebagai program siaran langsung, sukar untuk kami mengawal apa yang dilakukan artis di pentas. Perkara itu akan kami jelaskan kepada CMCF.
Buat masa ini, kami terpaksa menyekat persembahan Aina dan Drama Band di YouTube supaya tidak menimbulkan pertikaian lagi. Selepas keputusan semakan itu, barulah pihak stesen membincangkan tindakan selanjutnya.
Terdahulu, persembahan Aina Abdul didakwa membawa mesej bunuh diri apabila terdapat adegan tikam dada sehingga darah mencurah keluar. Untuk Drama Band pula, mereka dikatakan menyentuh isu sensitif berkaitan politik.