Pelakon Lufya Omar tampil meluahkan rasa kecewa dan bimbang susulan isu hangat yang diperkatakan sejak beberapa hari lalu, apabila menerima komen melampau yang seolah-olah mengaitkan dirinya serta individu lain dengan jenayah yang dilakukan oleh pihak tertentu.
Menerusi satu hantaran di Instagram, beliau menyifatkan komen sedemikian sebagai keterlaluan, apatah lagi apabila ia ditinggalkan pada hantaran berkaitan usrah bulanan yang melibatkan kehadiran ramai selebriti dan ustazah yang sedang menyampaikan ilmu agama.
Menurutnya, kata-kata sebegitu bukan sahaja tidak wajar, malah berbahaya kerana setiap perbuatan dan tutur kata akan menerima balasan yang setimpal, sama ada di dunia mahupun di akhirat.
“Setiap tindakan, walau sekecil zarah, pasti ada konsekuensinya. Kebaikan akan dibalas dengan kebaikan, manakala kejahatan akan kembali kepada pelakunya. Tiada satu pun perbuatan yang terlepas daripada pengawasan Allah SWT,” tulisnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyamakan atau memukul rata kesalahan jenayah yang dilakukan oleh seorang individu sehingga mengaitkan pihak lain yang tidak bersalah.
“Kita sedang berusaha untuk istiqamah di jalan-Nya. Mudah untuk berhijrah dari segi luaran, tetapi istiqamah itu jauh lebih sukar,” katanya.
Tambah beliau, tidak adil apabila kesalahan seorang individu menyebabkan semua nama lain turut terpalit, selain menegaskan bahawa mentaliti sebegitu tidak seharusnya dinormalisasikan dalam masyarakat.
“Kita boleh membenci perbuatan jenayah yang dilakukan, tetapi jangan membenci orang sekeliling yang tidak bersalah. Dalam setiap manusia pasti ada dosa dan kesalahan,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, beliau menyeru agar orang ramai lebih memilih untuk mendoakan keselamatan ahli keluarga masing-masing serta menjauhi sikap menghukum, kerana tugas menilai dan menyiasat seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
