Dituduh menjalani pembedahan potong usus kerana dilihat lebih kurus daripada bentuk badan sebelumnya, Man Raja Lawak tampil menafikan beberapa fitnah yang dilemparkan oleh sesetengah netizen di media sosial kepada dirinya.
Man Raja Lawak yang telah kehilangan berat badan hampir berpuluh kilogram dari 98 KG dan kini mencapai 68 KG berkata bahawa dia dahulu sering dihina berwajah hodoh kerana berbadan gempal namun apabila sudah kurus, timbul pula kejian lain.
“Saya sedar saya tidak dilahirkan kacak macam hero Hollywood atau Bollywood. Apatah lagi seperti bintang popular di negara kita. Wajah saya biasa saja,orang kampung lah katakan. Ada yang cakap muka saya bertambah buruk dan ‘haggard’ (gelebeh) apabila berjaya turunkan berat badan. Saya tak boleh ubah ciptaan tuhan. Saya terima diri saya seadanya,”
Hanya menganggap pandangan serta hinaan orang lain dari sudut positif, Man juga mengakui dirinya pernah dilemparkan fitnah bahawa dia telah menjalani prosedur pembedahan bariatrik atau potong usus hanya semata-mata untuk menjadi kurus.
Kini, Man telah mengambil inisiatif untuk tidak terlalu memikirkan kata-kata orang sebagai langkah memujuk hati sendiri.
“Tapi tulah, kalau asyik fikir cakap orang, sampai ke sudah kita akan terus berada di takuk lama. Jadi saya ambil pendekatan tak ambil peduli. Memujuk hati, saya anggap mereka dengki dan cemburu dengan apa yang saya berjaya lakukan,”
Man juga berharap kejayaan menguruskan badannya itu dapat memberi inspirasi kepada mereka di luar sana yang masih bergelut untuk menurunkan lemak di badan. Dia yang sedang mengambil supplemen tambahan yang turut diambil rakan artis yang lain berkata dirinya kini lebih berkeyakinan dan bersemangat dalam menjalani kehidupan seharian.
Sumber: Gempak.com