Melalui laporan Harian Metro, barisan peguam yang mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina mengatakan gelombang #JusticeForZara tidak akan tercetus seandainya sejak hari pertama siasatan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) serta undang-undang.
Peguam tersebut turut menzahirkan rasa sokong terhadap langkah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman yang membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap tiga pegawai polis, di mana masing-masing berpangkat Superintendan, Asisten Superintendan Polis (ASP) dan Inspektor kerana didakwa tidak mematuhi SOP sewaktu mengendali siasatan.
Kami juga berharap gelombang JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memastikan setiap kes kematian yang meragukan disiasat dengan efektif, telus dan mengikut SOP sejak tarikh laporan maklumat pertama diterima.
Dalam pada itu, peguam Hamid Ismail bersama rakan guamannya Shahlan Jufri, Rizwandean Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser itu juga memaklumkan pihak mereka masih menunggu tarikh permohonan inkues diadakan di Jabatan Peguam Negara.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar melaporkan pada 11 Ogos bahawa berlakunya ketidakpatuhan kerana prosedur siasatan yang mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk bedah siasat arwah Zara.