Aplikasi peta AMap yang dibangunkan di China mencetuskan kebimbangan selepas didakwa memaparkan garisan tuntutan ‘Nine Dash Line’ yang dilihat mencabar kedaulatan sempadan perairan Malaysia.
Bekas Jurulatih Penerbangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Ezairol Rezan Zainol, menyifatkan perkara itu sebagai satu bentuk agenda halus pihak tertentu dari China yang diselitkan melalui aplikasi teknologi, dan tidak wajar dipandang remeh.
Menurutnya, walau sehebat atau sebaik mana sesebuah aplikasi, isu kedaulatan negara perlu sentiasa diutamakan.
“Aku mula-mula pun teruja juga, ingat nak pasang dan cuba. Tapi lepas tengok dalam peta AMap dengan jelas ada garisan ‘Nine Dash Line’, aku batalkan hasrat.
“Dari perkongsian ramai yang aku baca di ruangan komen, aplikasi AMap memang tepat, tapi hanya bila digunakan di dalam negara China sahaja. Bab tepat atau tidak, itu nombor dua. Namun perkara paling penting dan utama di sini ialah kewujudan ‘Nine Dash Line’ yang mereka sengaja letakkan dalam aplikasi itu.
“Aku tidak akan sokong. Bagi aku, aplikasi AMap secara halus mencabar kedaulatan negara yang pernah aku jaga dan lindungi dulu. Ini bukan perkara main-main. Kesetiaan kepada negara adalah lebih utama,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook.
Tambah Mohd Ezairol, isu tersebut bukan sekadar melibatkan penggunaan aplikasi, sebaliknya satu bentuk ancaman territorial claims establishment yang secara perlahan cuba ditanam dalam pemikiran generasi muda masa kini.
Menurutnya, paparan tersebut seolah-olah mengiktiraf tuntutan China terhadap sempadan perairan negara secara tersirat.
“Bayangkan jika berjuta rakyat Malaysia, Filipina, Vietnam dan Indonesia yang memuat turun aplikasi ini. Tidak mustahil, 20 hingga 30 tahun dari sekarang, golongan yang tidak mahu belajar sejarah akan menganggap ‘Nine Dash Line’ itulah sempadan negara China.
“Boleh lihat peta dalam aplikasi AMap itu. Beting Serupai dinamakan Zengmu Ansha manakala Kepulauan Spratly dinamakan sebagai Nansha Qundao.
“Semuanya kerana kita diam dan kita ‘endorse’ aplikasi negara mereka yang secara sengaja mencabar kedaulatan sempadan perairan kita,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan tegas termasuk mempertimbangkan pengharaman aplikasi berkenaan di Malaysia. – SINAR HARIAN
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
