Lagenda sukan ragbi berasal dari New Zealand, Sonny Bill Williams baru-baru ini menerima kecaman daripada warga maya, bukan sahaja di luar negara tetapi juga di Malaysia.
Ini berikutan bintang sukan tersebut telah memuat naik foto memaparkan dia memasuki masjid untuk solat sunat terawih namun tidak memakai baju lengan panjang memandangkan lengannya dipenuhi tatu.
Taraweeh with my girls. ???? pic.twitter.com/1Wq3bHV7dM
— Sonny Bill Williams (@SonnyBWilliams) April 6, 2022
Sonny yang dilihat berada dalam masjid bersama isteri dan anak-anak kelihatan gembira meraikan kemeriahan Ramadan bagi menunaikan solat terawih.
Namun begitu, gambar yang dimuat naik Sonny menerima kritikan daripada netizen kerana terlihat jelas tatu di lengan selain ada juga yang mempersoalkan mengapa isteri Sonny turut berada di ruangan solat yang sama.
Dalam pada itu, ada juga warga maya yang berkata bahawa perkara tersebut tidak perlu diperbesar-besarkan dan biar Allah sahaja yang menghakiminya, bukan manusia.
Sekadar info, perbuatan mencacah tatu adalah haram dan perlu dihilangkan atau dibuang namun jika ia mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia dimaafkan.
Bagi mereka yang bertatu kemudiannya meninggal dunia dan tidak sempat untuk membuangnya, adalah tidak wajib untuk dihilangkan kerana ia akan menyeksa si mati tersebut.
Terdahulu, Sonny Bill Williams merupakan salah seorang pemain ragbi pasukan All Blacks dan telah memeluk Islam sejak tahun 2009 yang lalu.