Padah bertimpa buat seorang wanita yang bertindak menyembur cat hijau di tiga kenderaan dan menggigit lengan seorang anggota polis sehingga lebam, kerana didenda RM2,800 oleh Mahkamah Majistret.
Majistret Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Yoke Hwa, 45, selepas dia mengaku bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Bagi tiga kesalahan menyembur cat hijau, mahkamah menjatuhkan hukuman denda maksimum RM100 bagi setiap pertuduhan atau dua hari penjara sekiranya gagal membayar denda manakala untuk kesalahan menggigit lengan, tertuduh didenda RM2,500 atau dipenjara dua bulan jika denda itu gagal dibayar.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Lee didakwa berkelakuan kurang sopan dengan menyembur cat berwarna hijau pada tiga jenis kenderaan masing-masing milik Khadijah Ghazali, Nazreen Yaacob dan Amir Soffian Abd Razak.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan bangunan KTA Tenaga Kerja di Jalan PJU 1/41, Dataran Prima, Kelana Jaya, di sini pada 8.35 pagi, 11 Mac lalu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Tertuduh juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, Konstabel Syafiqah Othman dengan menggigit mangsa pada lengan sebelah kiri di bilik Task Force, Balai Polis Kelana Jaya, di sini pada 5.15 petang, tarikh sama mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, susulan kejadian menyembur cat hijau, anggota polis menangkap suspek (Lee) untuk dibawa ke balai polis namun apabila tiba di balai, wanita itu cuba melarikan diri tetapi dihalang oleh anggota terbabit.
Dia kemudian bertindak menggigit lengan anggota polis berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zamriah Zarifah Aris memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh namun Lee, yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda paling minimum atas alasan dia tidak sengaja menggigit anggota polis itu dan menyesal atas perbuatannya.
Macam-macam hal ya sekarang ni, moga kita semua terlindung dari orang-orang yang merbahaya.