Gara-gara memikat isteri orang, bekas pegawai tentera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan itu.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut kepada Azmi Ali selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Mengikut pertuduhan yang dibaca, tertuduh didakwa dengan niat jenayah memikat wanita berusia 44 tahun yang sudah bersuami dan supaya dia melakukan persetubuhan dengannya di sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada tahun 2016.
Kesalahan mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zhafran juga turut memerintahkan tertuduh berusia 48 tahun itu dihukum penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.
Bagaimanapun, tertuduh dilaporkan telah membayar denda dikenakan terhadapnya itu.
Terdahulu, peguam tertuduh memohon denda minimum atas alasan dia merupakan pesalah pertama dan sudah mengaku bersalah serta menyesali perbuatannya.
Tertuduh sudah berkahwin dan ada dua anak serta tiada rekod jenayah. Tertuduh berkhidmat sebagai tentera selama 28 tahun, namun dinasihatkan berhenti menyebabkannya menganggur.”
Kata peguamnya, Azman Zakaria, tertuduh sudah mendapat kerja baru sebagai pegawai keselamatan dengan pendapatan RM4,500 sebulan dan perlu menjaga ibu bapa yang mempunyai masalah kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal yang mengendalikan kes bagaimanapun meminta hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Difahamkan, rumah tangga pengadu dan hubungan bersama keluarga terjejas selain rumah serta perniagaannya gulung tikar.
Rentetan itu,pengadu terpaksa pulang ke kampung dan mengalami kemurungan sehingga perlu menerima rawatan dan kaunseling di klinik kesihatan di Terengganu.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.