Tiada angin tiada ribut, Instagram pelakon popular, Shukri Yahaya, 32, dihujani kata-kata cacian netizen mengenai isu curang melibatkan pelawak dan penyampai radio, Shuk Sahar yang tular baru-baru ini.
Manakan tidak, hanya kerana nama panggilan yang hampir sama, Shukri Yahaya menerima tempias kontroversi berkenaan apabila ada netizen yang menyangka mereka berdua adalah individu yang sama.
Meninjau ruangan komen di beberapa hantaran gambar pelakon itu di Instagram, ramai pula warga maya yang tersalah anggap antara Shuk Sahar dan Shukri Yahaya menghantar komen berbaur kutukan dan cacian.
Namun, tidak melatah dengan kritikan yang langsung tiada kaitan dengan dirinya itu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu ada juga dilihat membalas komen netizen dengan nada gurauan.
Terdahulu, kecoh seketika media sosial tempatan apabila isteri kepada pelawak Shuk Sahar mendedahkan bahawa suaminya itu kembali curang buat kali kedua bersama seorang wanita bernama Fara Salleh. Susulan daripada kes itu, Shuk dilaporkan telah digantung perkhidmatan secara rasmi sebagai penyampai radio di sebuah stesen radio tempatan berkuatkuasa semalam.