Kematian Nemesio Oseguera Cervantes atau lebih dikenali sebagai “El Mencho”, ketua kartel paling dikehendaki di Mexico, dilaporkan berpunca daripada satu kesilapan kecil dalam rangkaian keselamatannya sendiri.
Selepas bertahun-tahun berjaya mengelak daripada ditangkap, pihak berkuasa akhirnya memperoleh maklumat konkrit mengenai lokasi persembunyiannya hasil intipan terhadap salah seorang kekasih gelap raja dadah tersebut.


Menurut Setiausaha Pertahanan Mexico, Ricardo Trevilla Trejo, penyiasat berjaya mendekati seorang “lelaki kepercayaan” kepada kekasih El Mencho untuk mendapatkan akses ke kubu rahsianya.
Operasi tersebut memuncak pada 20 Februari apabila kekasih El Mencho dikesan keluar dari sebuah kompleks kabin di pinggir bandar Tapalpa. Namun, El Mencho sendiri kekal berada di situ bersama pengawal peribadinya.
Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh pasukan khas Mexico dan Pengawal Kebangsaan untuk melancarkan serbuan dalam tempoh 24 jam. Walaupun pertempuran sengit tercetus sehingga mengorbankan lapan ahli kartel, El Mencho yang cedera parah akhirnya berjaya ditahan di kawasan hutan tebal sebelum disahkan meninggal dunia di dalam helikopter ketika dalam perjalanan ke hospital.

Pemergian ketua Jalisco New Generation Cartel (CJNG) itu mencetuskan gelombang keganasan di seluruh Mexico sebagai tindak balas balas dendam. Ahli kartel dilaporkan membakar kenderaan dan menyekat jalan raya, sehingga mengorbankan 25 anggota Pengawal Kebangsaan dan memberi tekanan besar kepada Presiden Claudia Sheinbaum.
Walaupun operasi tersebut dilihat sebagai satu langkah besar dalam usaha membanteras penyeludupan fentanyl yang turut dikaitkan dengan agenda bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ia pada masa sama menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan bandar Guadalajara yang bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
