Pelakon, Puteri Balqis menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pengarah terkenal, Michael Ang, susulan isu yang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Puteri Balqis atau lebih mesra disapa Aqish tampil memohon maaf sekiranya nama Michael Ang terpalit atau terkena tempias akibat kontroversi yang sedang berlaku, meskipun perkara itu berlaku tanpa pengetahuan atau kehadiran mereka.

“Jika ada apa-apa perkara berkaitan antara kami dan Michael Ang tanpa kami tahu, atau tanpa kami berada di situ, dan beliau terkena tempias, saya, Puteri Balqis dan ibu saya, Ashikin, memohon maaf atas segala kesalahan.
“Daripada pihak kami, kami tidak ada apa-apa masalah dengan Michael Ang,” katanya.
Dalam pada itu, Aqish turut berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Michael Ang walaupun dalam tempoh yang singkat. Menurutnya, pengarah tersebut banyak membantu ketika dia berdepan masalah kesihatan suatu ketika dahulu.
Sementara itu, Michael Ang turut memberikan respons terhadap kenyataan yang dibuat oleh Puteri Balqis. Menurutnya, pelakon tersebut tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga memerlukan permohonan maaf.

Michael Ang menjelaskan bahawa isu yang berlaku antara mereka hanyalah salah faham dan tidak sepatutnya diperbesarkan. Malah, beliau turut memaklumkan bahawa hutang melibatkan bapa kandung Puteri Balqis telah dilupakan dan dihalalkan sepenuhnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
